Perkawinan merupakan suatu tuntutan agama dalam menjaga fitrah
makhluk ciptaan-Nya. Perkawinan merupakan satu jalan mencapai keredhaan
Allah dalam menuju syurga-Nya. Allah memerintahkan hamba-hamba-Nya untuk
kawin seperti firman-Nya:
“Dan kawinlah orang bujang (Lelaki atau perempuan) dari kalangan kamu, dan orang yang salih dari hamba-hamba kamu, lelaki dan perempuan. Jika mereka miskin, Allah swt akan memberikan kekayaan kepada mereka dari limpa kurnia-Nya, kerana Allah swt Maha Luas (rahmat-Nya dan limpah kurnia-Nya), lagi Maha Mengetahui” (Surah An-Nur 24:32)
Kekayaan yang dianugerahi Allah ini bukan semata-mata dalam konteks
rupiah dan harta, tetapi kekayaan diri yang merasakan diri cukup dengan
nikmat-nikmat Allah yang seterusnya mendekatkan kita dengan syurga-Nya.
Tanyalah pasangan yang telah menikah, pasti mereka berasa nikmat Allah
itu meliputi mereka kerana isteri itu tidak lain tidak bukan adalah
anugerah Allah.
Dan kekayaan melalui nikmat itulah yang Allah abadikan dalam Firman-Nya:
“Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikan-Nya di antaramu rasa kasih dan sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berpikir. ” (QS. 30:21)
Teringat saya akan skrip dialog yang dipetik dari sebuah film :
“Isteri bukan hak milik, tetapi anugerah”
Dialog itu cukup melekat dalam hati saya semenjak itu dan sering
membuatkan saya terfikir-fikir. Dijadikan isteri itu sebagai anugerah
bukan hak milik. Seseorang hanya akan merasa kaya apabila dia merasakan
dirinya mendapat anugerah yang istimewa dari Allah. Dan rasa kekayaan
itulah yang dirasakan apabila isteri itu dilihat sebagai anugerah Yang
Maha Esa. Namun, sebaliknya jika kita merasakan isteri itu hak milik,
maka kita tidak pernah akan merasa cukup dengan kepemilikan itu, dan
sentiasa merasa berwaspada akan kehilangannya.
Di balik anugerah Allah itulah kita akan mendapatkan syurga. Hadith
Rasulullah s.a.w sentiasa mengingatkan kita bahwa terlalu banyak
kebaikan yang Allah ganjarkan kepada mereka yang telah menikah, sehingga
disebut Rasulullah bagi yang menikah telah sempurna separuh dari agama,
maka sebahagianlah disuruh kita bertakwa. Mengapa begitu besar ganjaran
Allah di balik anugerah itu yang sudah pastinya bukan sekadar
mengkayakan kita didunia, malah menambah saham akhirat dengan lipat kali
ganda? Jika ditanyakan pasangan yang telah menikah, sudah pasti mereka
akan katakan, terlalu banyak peluang membuat kebaikan kepada isteri dan
anak-anak yang seterusnya menjanjikan syurga.
Sering lelaki dan suami merasakan bahawa dialah pemimpin dan dialah
yang paling tinggi kedudukannya didalam keluarga. Sehingga isteri itu
perlu taat kepadanya. Ayat syurga isteri itu bergantung pada redha suami
menjadikan suami kadangkala lupa bertanya diri dimana pula syurganya?
Pernahkah suami bertanya dimana syurganya didalam rumah tangga?
Sungguh Allah itu Maha Adil. Dia tidak menjadikan wanita itu sebagai
kaum lemah yang mana kedudukannya di akhirat bergantung pada redha suami
hanya untuk didominasi dan dipergunakan lelaki.
Rasulullah SAW dalam hadisnya bermaksud:
“Bila isteri itu mengerjakan sembahyang lima waktu, berpuasa bulan Ramadan, memelihara kemaluannya dan mematuhi suruhan dan larangan suaminya, maka akan dimasukkan dia ke dalam syurga.” (riwayat Abu Hurairah)
Mematuhi suruhan dan larangan suami dijadikan syarat Allah yang
terakhir dalam hadith itu untuk wanita menjejaki syurga. Namun, Allah
tidak menjadikan kewajipan itu semata-mata sia-sia kerana jaminan syurga
itu bersifat mutual. Syarat ke syurga tidak hanya diletakkan kepada
isteri, tetapi juga diletakkan kepada suami, sebagai bukti keadilan
Allah.
Lantaran itu, Rasulullah SAW bersabda dalam hadisnya bermaksud:
“Sebaik-baik kamu adalah yang terbaik terhadap keluarganya dan aku adalah yang terbaik daripada kamu terhadap keluargaku”. (Riwayat At-Tirmizi)
Tidak sekadar itu, Rasulullah dalam hadith lainnya menyebut:
“Mukmin yang paling sempurna imannya ialah yang paling baik akhlaknya. Orang yang paling baik diantara kamu adalah orang yang paling baik melayani isterinya”. (Riwayat At-Tirmizi)
Subhanallah, itulah bukti keadilan Allah agar kaun hawa tidak
ditindas oleh lelaki yang ego mengatakan dialah pemimpin yang harus
ditaati isterinya sedangkan dia melayani isteri dengan buruk.
Syurga yang dijanjikan Allah kepada isteri bersifat mutual kepada
suami sekiranya dia melayani isterinya dengan baik. Jangan hanya sibuk
memperingati isteri berkenaan syurganya, sebaliknya berfikirlah dimana
syurgamu wahai suami dalam rumah tanggamu. Sudahkan kita melayani isteri
kita sebaiknya dan memuliakannya sebagai seorang isteri dan ibu kepada
anak-anak kita. Jangan hanya mempersoalkan hak-hak kita yang perlu
dipenuhi isteri, sebaliknya tanyakan hak-hak isteri yang masih belum
kita sempurnakan dan tunaikan.
Tulisan ini tidak lain dan tidak bukan sebagai peringatan kepada
diri, andai nanti disaat terlena dan terlupa untuk bertanya dan
bermuhasabah dimana syurgaku.